Monday, April 6, 2009

Bermain dengan ikan (fish massage) Kg Luanti, Ranau 09 Mac 2009

Geli geleman.... Bagi yang kali pertama merasa di'urut' ikan, badan terasa seakan digeletek
Teruja...... Ikan berebut-rebut mendapatkan makanan dari tangan kami....

Asyik...... Berjemur lebih dari 30 minit dalam panas terik tidak terasa


Program Kecemerlangan Pelajar UPSR SK Serusop, 01 April 2009

Hanafiah dikerumuni pelajar-pelajar calon UPSR 2009
Hanafiah menerima cenderamata dari Guru Besar SK Serusop dengan diperhatikan oleh Pengerusi PIBG (dua dari kiri) dan para penceramah

Hanafiah menyampaikan ucapan perasmian penutupan seminar



Ramah Mesra dengan Pengusaha-pengusaha Mitabang Homestay Kg. Tulung, Kiulu - 20 Mac 2009

Hanafiah berucap kepada pengusaha-pengusaha Homestay
Taklimat perkembangan semasa Mitabang Homestay oleh Ariffin Gadait, Koordinator Mitabang Homestay Kg Tulung.

Sebahagian pemandangan indah lembah Kg Tulung, Kiulu



Kursus Membuat Tart dan Bun, Kg. Sinarut Baru, Ranau - 19 Mac 2009

Para peserta mencuba proses penyediaan tart dan bun dengan bimbingan dari fasilitator


Peserta bergambar beramai-ramai dengan Hanafiah Diman, Ketua Pentadbir, Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan dan Pengerusi JKKK Kg. Sinarut Baru

Hanafiah menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil para peserta

Perasmian Program Kecemerlangan UPSR SK Kilimu




PERASMIAN PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR SK KILIMU RANAU, 25 - 26 March 2009

Hanafiah Diman, Ketua Pentadbir, Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan menyampaikan sijil penyertaan kepada pelajar UPSR





Para peserta seminar tekun mendengan ceramah dan mengikuti segala tunjuk ajar oleh fasilitator

Tuesday, March 17, 2009

KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YB DATUK HAJIJI HAJI MOHD NOOR, MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN SABAH



Minum dan berbincang........ Datuk Hajiji berbual bersama Hanafiah, Linda, Charles dan Jeffrey di pejabat beliau


Kenangan........ Datuk Hajiji menerima cenderamata daripada Hanafiah

Kunjungan Hormat 17 Mac 2009

Kunjungan Hormat kepada YB Datuk Yee Moh Chai, Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah merangkap ADUN N15 API-API







Kunjungan Hormat kepada YB Datuk Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah merangkap ADUN N12 KARAMBUNAI



Kunjungan Hormat kepada YB Datuk Edward Yong Oi Fah, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap ADUN N17 TANJUNG ARU



Kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat YB Datuk Yee Moh Chai

DR YEE AKAN BANTU KENALPASTI PENERIMA SKIM BANTUAN KHAS YAYASAN SABAH BAGI DUN API-API


KOTA KINABALU – (Isnin): Seramai 60 penerima Skim Bantuan Khas Yayasan sabah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Api-Api akan dikenalpasti dengan kerjasama sekolah-sekolah yang ada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut. Menteri Pembangunan Sumber dan Pembangunan Teknologi Maklumat merangkap ADUN Api-Api, Datuk Dr. Yee Moh Chai menegaskan demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Sabah di pejabatnya hari ini. Menurut Dr. Yee, meskipun jumlah penerima dan jumlah bantuan yang diberi tidak seberapa, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban ibubapa yang tidak berkemampuan membiayai pendidikan anak-anak mereka. Setiap pelajar sekolah rendah yang terpilih akan menerima RM70.00 seorang manakala bagi sekolah menengah pula, para pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM100.00. Menurut Dr. Yee lagi, bantuan ini di samping bantuan-bantuan lain dari jabatan dan agensi Kerajaan yang lain membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap warganegara mendapat akses kepada pendidikan yang sempurna.

Dalam pertemuan tersebut juga, Ketua Pentadbir yayasan Sabah Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman turut memaklumkan bahawa dengan jumlah peruntukan yang terhad, Yayasan Sabah cuba membantu seramai mungkin pelajar miskin tetapi dalam pelbagai bentuk bantuan yang berbeza. Antaranya ialah pemberian biasiswa harian, bantuan pakaian seragam dan kasut, bantuan alat tulis dan beg sekolah dan penyediaan program kecemerlangan pelajar yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran. Hanafiah juga memaklumkan bahawa Yayasan Sabah juga memberi perhatian kepada usaha membantu kalangan surirumah dengan menganjurkan pelbagai bimbingan dan kursus yang bertujuan memberi pendedahan dan sumber ekonomi tambahan kepada keluarga. Antara aktiviti sosio-ekonomi yang diperkenalkan ialah pembuatan kuih muih tradisional termasuklah kuih kering, pembuatan tat dan kek, homestay, kraftangan, herba, kursus pembungkusan makanan dan pelabelan dan juga pemasaran produk. Menurut Hanafiah lagi, kelompok sasaran terutama mereka yang berada di bawah paras garis kemiskinan telah mendapat banyak manfaat dari program ini. “Setiap tahun, Yayasan Sabah membelanjakan lebih RM1 juta untuk tujuan pembangunan sosioekonomi rakyat miskin dan bagi kawasan Zon Pantai Barat Selatan sahaja kita membelanjakan hampir RM200,000.00 untuk tujuan ini” ujar beliau.

Dalam pertemuan itu juga, Datuk Dr. Yee Moh Chai bersetuju untuk menyampaikan sendiri Skim Bantuan Khas ini kepada para penerima. Beliau juga turut menerima cadangan pihak Yayasan Sabah untuk menyampaikan Skim Bantuan Khas berkenaan kepada 120 orang lagi penerima bagi DUN Likas dan Luyang.


Gambar:
Kenangan……..Datuk Dr Yee Moh Chai menerima cenderamata dari Hanafiah Diman, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan
Saturday, March 14, 2009

Aktiviti Bergambar

PROGRAM MOTIVASI KEIBUBAPAAN SK KIBABAIG, PENAMPANG

Ucapan Perasmian oleh
Hanafiah Diman, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan


Guru Besar, Pengerusi PIBG, Penceramah, Guru-Guru dan Ibubapa yang hadir


YAYASAN SABAH ANJUR SEMINAR DAN PAMERAN PENDIDIKAN KERJAYA


KOTA KINABALU – (Jumaat): Yayasan Sabah akan menganjurkan Seminar dan Pameran Pendidikan dan Kerjaya pada 3 Mac ini di Ranau. Seminar dan pameran ini dijangka akan memanfaatkan para pelajar khususnya pelajar di tingkatan 5 dan 6 di sekitar daerah tersebut. Seminar dan pameran sehari ini akan diadakan di Dewan Sekolah Agama Mohd. Ali Ranau.

Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman dalam kenyataannya menjelaskan bahawa seminar dan pameran ini merupakan anjuran bersama Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah dan Jabatan Pelajaran Sabah melalui Jabatan Pelajaran Daerah Ranau.

“Objektif seminar dan pameran ini ialah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kepelbagaian kursus yang terdapat bukan sahaja di institusi pengajian awam tetapi juga di institusi pengajian swasta. Kita juga akan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pelbagai sumber pembiayaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini. Kita yakin, dengan penerangan dan interaksi dengan wakil dari institusi pengajian awam dan swasta yang dijemput, serta penerangan dan sesi soal jawab dengan wakil dari organisasi yang menyediakan dana pengajian, para pelajar akan mendapat pengetahuan serta pendedahan yang berguna untuk merancang dan menentukan halatuju pengajian masing-masing selepas sahaja memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.” Hanafiah menambah, sebanyak 4 kertas kerja akan dibentangkan dan satu sesi forum yang menampilkan para organisasi yang menaja pengajian tinggi akan diadakan.

Mengulas lanjut, Hanafiah Diman berkata, “Pihak Yayasan Sabah ingin mengalu-alukan penglibatan para pelajar yang telah dikenalpasti dan dipilih oleh pihak sekolah masing-masing untuk hadir dan seterusnya memaksimakan peluang tersebut untuk berinteraksi dan seterusnya mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai pengajian tinggi dan pembiayaan yang disediakan.”

Seminar dan pameran ini akan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah.

YAYASAN SABAH BANTU MAJLIS GURU BESAR ZON TENGAH RANAU MENINGKATKAN PENCAPAIAN PEPERIKSAAN UPSR 2009


RANAU – (Sabtu): Majlis Guru Besar Zon Tengah Ranau akan dibantu oleh Yayasan Sabah untuk mempertingkatkan pencapaian keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009. Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman ketika merasmikan Program Gemilang UPSR Zon Tengah 2009 di Dewan SK Kilimu berkata, Yayasan Sabah akan menyalurkan bantuan yang termampu termasuklah bantuan kewangan dan idea untuk membantu usaha 11 sekolah dalam Zon Tengah Ranau untuk mencapai hasrat murni ini.

Berucap di hadapan 120 orang pelajar dan kesemua Guru Besar serta guru-guru pengiring dari 11 sekolah berkenaan, Hanafiah melahirkan rasa optimis terhadap hasrat tersebut kerana keputusan peperiksaan UPSR tahun 2008 yang lalu telah memberikan petunjuk yang memberangsangkan. Pada tahun 2008, Zon Tengah Ranau mencapai tahap kelulusan 64.57% dengan 6 orang pelajar berjaya memperolehi 5A.

Meskipun tidak ada angka jelas yang ingin dicapai oleh sekolah-sekolah tersebut pada tahun ini, Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Tengah, Saili Masri berkata, tahun 2009 ini sekolah-sekolah Zon Tengah Ranau berhasrat untuk mencapai keputusan lulus 65% ke atas. Beliau melahirkan rasa yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Guru-Guru Besar, guru-guru dan pelajar-pelajar. Beliau menambah, meskipun kesemua sekolah di bawah Zon Tengah Ranau diklasifikasikan sebagai sekolah luar bandar, semangat pelajar dan guru-gurunya juga tidak kalah dengan sekolah-sekolah di bandar-bandar besar.

Pengerusi Program Gemilang UPSR Zon Tengah 2009, Muhasip Ruman dalam ucapannya menyatakan rasa yakin bahawa dalam usaha murni ini dan dengan bantuan semua pihak terutama guru-guru, ibubapa dan para pelajar sendiri serta dengan bantuan pihak-pihak lain seperti Yayasan Sabah, mutu pelajaran di sekolah-sekolah pedalaman juga akan dapat dipertingkatkan. Beliau turut melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada keprihatinan Yayasan Sabah memperjuangkan pendidikan di negeri Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.

Program Gemilang UPSR Zon Tengah 2009 ini dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama dari segi nasihat dan bantuan teknikal dari sekolah-sekolah Zon Tengah Ranau, terutama SK Kilimu yang menjadi tuan rumah pada acara berkenaan.

Hanafiah dalam ucapan perasmian penutupannya juga berkata bahawa acara yang kini menjadi acara tahunan ini akan dipertimbangkan sebagai salah satu acara yang dimasukkan dalam kalendar aktiviti tahunan Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan. Dalam majlis berkenaan, Hanafiah turut menyampaikan hadiah kepada pelajar dan kumpulan terbaik dalam bengkel dua (2) hari tersebut serta menyampaikan sijil penyertaan kepada semua pelahjar yang terlibat.


Hanafiah Diman menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang dalam bengkel berkenaan sambil diperhatikan oleh Saili Masri (dua dari kiri) dan Muhasip Ruman (kanan)

SKIM BANTUAN KHAS YAYASAN SABAH UNTUK PELAJAR TERMISKIN BANTU RINGANKAN BEBAN KELUARGA MISKIN DI RANAU

Hanafiah menyampaikan cenderamata kepada Pegawai Daerah Ranau, Siriman Basir, dengan disaksikan oleh PKR Karanaan, Wahab Rashman, PKR Paginatan, Jefri Majingki, CDO Kundasang, Kasimin Basir dan pegawai-pegawai kanan YSZPBS

KOTA KINABALU – (JUMAAT): Yayasan Sabah melalui pejabat Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, akan mengagihkan Skim Bantuan Khas kepada pelajar-pelajar dari keluarga termiskin bermula pada bulan april ini. Skim bantuan ini diharap akan dapat meringankan beban ibubapa membiayai pendidikan anak-anak mereka terutama dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi masa kini. Dalam taklimatnya kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di Ranau dan Pejabat Daerah Ranau, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman berkata, untuk daerah Ranau sahaja, Skim Bantuan Khas ini akan dinikmati oleh 180 keluarga termiskin.

Menyentuh tentang pengenalpastian para penerima, Hanafiah menjelaskan bahawa Yayasan Sabah akan berganding bahu dengan pejabat ADUN dan Pemimpin Kemajuan Rakyat di Ranau dan akan berkerjasama rapat dengan Pejabat Daerah Ranau. Sesi perbincangan ini telah dihadiri oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat Karanaan, Wahab Rashman yang mewakili Datuk Masidi Manjun, Pegawai Kemajuan Rakyat Paginatan, Jefrin Majangki yang mewakili Datuk Ewon Ebin dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Kundasang, Kasimin Basir yang mewakili Dr. Joachim Gunsalang. Taklimat ini juga turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Ranau, Siriman Basir dan pegawai-pegawai kanan dari Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan.

Mengulas mengenai skim ini, para Pemimpin Kemajuan Rakyat dan Pegawai Daerah amat mengalu-alukan inisiatif Yayasan Sabah ini dan merasakan bahawa ini amat kena pada masanya memandangkan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu yang turut dirasai bahangnya oleh para ibubapa, terutama dari kalangan mereka yang termiskin. Wahab Rashman yang mewakili Datuk Masidi Manjun berkata, meskipun pelbagai bantuan telah dan sedang diberi oleh pihak kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensi, bantuan-bantuan berkenaan tidaklah benar-benar mencukupi memandangkan jumlah mereka yang layak menerimanya jauh lebih ramai. Pandangan ini turut dikongsi oleh Jefrin Majangki, Pemimpin Kemajuan Rakyat Paginatan kerana didapati bahawa meskipun telah banyak jenis bantuan diberikan, ada juga kalangan rakyat yang layak tercicir dari senarai penerima.

Siriman Basir, Pegawai Daerah Ranau berharap pembahagian skim ini kali ini akan dapat dilaksanakan dengan licin dan benar-benar memberi manfaat kepada kelompok sasaran. Menurut beliau, Pejabat Daerah Ranau akan membantu untuk mengemaskinikan senarai isirumah termiskin yang ada di Pejabat Daerah dan berharap agar semua Ketua kampong, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Ranau dapat membantu dengan memberikan senarai yang telus dan terkini.

Dalam taklimat ini juga, Hanafiah turut memaklumkan bahawa Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan telah melaksanakan banyak program di Ranau yang bertujuan membentu meningkatkan pembangunan sosio ekonomi rakyat. Program tersebut termasuklah program peningkatan prestasi pelajar yang dianjurkan bersama Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-sekolah, motivasi keibubapaan dan juga program berbentuk sosio-budaya. Hanafiah menambah, sehingga awal tahun 2009 ini, Yayasan Sabah juga turut member bantuan membina dan membaiki beberapa buah rumah rakyat termiskin di Ranau, pembaikan infrastruktur asas seperti jambatan gantung dan paip gravity.

Pembahagian Skim Bantuan Khas ini akan dilaksanakan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan setelah semua calon-calon penerima dikenalpasti. Dijangkakan tarikh pengagihan ini ialah pada bulan April hingga Mei tahun ini. Pihak Pejabat Daerah dan Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat bagi ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri ini memberi jaminan bahawa para penerima akan dikenalpasti secepat mungkin bagi memastikan bantuan ini dapat diagihkan secepatnya kepada para penerima.

Dalam majlis tersebut juga, Hanafiah telah menyerahkan borang-borang permohonan Skim Bantuan Khas tersebut kepada semua wakil ADUN yang hadir.