Tuesday, March 17, 2009

Kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat YB Datuk Yee Moh Chai

DR YEE AKAN BANTU KENALPASTI PENERIMA SKIM BANTUAN KHAS YAYASAN SABAH BAGI DUN API-API


KOTA KINABALU – (Isnin): Seramai 60 penerima Skim Bantuan Khas Yayasan sabah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Api-Api akan dikenalpasti dengan kerjasama sekolah-sekolah yang ada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut. Menteri Pembangunan Sumber dan Pembangunan Teknologi Maklumat merangkap ADUN Api-Api, Datuk Dr. Yee Moh Chai menegaskan demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Sabah di pejabatnya hari ini. Menurut Dr. Yee, meskipun jumlah penerima dan jumlah bantuan yang diberi tidak seberapa, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban ibubapa yang tidak berkemampuan membiayai pendidikan anak-anak mereka. Setiap pelajar sekolah rendah yang terpilih akan menerima RM70.00 seorang manakala bagi sekolah menengah pula, para pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM100.00. Menurut Dr. Yee lagi, bantuan ini di samping bantuan-bantuan lain dari jabatan dan agensi Kerajaan yang lain membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap warganegara mendapat akses kepada pendidikan yang sempurna.

Dalam pertemuan tersebut juga, Ketua Pentadbir yayasan Sabah Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman turut memaklumkan bahawa dengan jumlah peruntukan yang terhad, Yayasan Sabah cuba membantu seramai mungkin pelajar miskin tetapi dalam pelbagai bentuk bantuan yang berbeza. Antaranya ialah pemberian biasiswa harian, bantuan pakaian seragam dan kasut, bantuan alat tulis dan beg sekolah dan penyediaan program kecemerlangan pelajar yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran. Hanafiah juga memaklumkan bahawa Yayasan Sabah juga memberi perhatian kepada usaha membantu kalangan surirumah dengan menganjurkan pelbagai bimbingan dan kursus yang bertujuan memberi pendedahan dan sumber ekonomi tambahan kepada keluarga. Antara aktiviti sosio-ekonomi yang diperkenalkan ialah pembuatan kuih muih tradisional termasuklah kuih kering, pembuatan tat dan kek, homestay, kraftangan, herba, kursus pembungkusan makanan dan pelabelan dan juga pemasaran produk. Menurut Hanafiah lagi, kelompok sasaran terutama mereka yang berada di bawah paras garis kemiskinan telah mendapat banyak manfaat dari program ini. “Setiap tahun, Yayasan Sabah membelanjakan lebih RM1 juta untuk tujuan pembangunan sosioekonomi rakyat miskin dan bagi kawasan Zon Pantai Barat Selatan sahaja kita membelanjakan hampir RM200,000.00 untuk tujuan ini” ujar beliau.

Dalam pertemuan itu juga, Datuk Dr. Yee Moh Chai bersetuju untuk menyampaikan sendiri Skim Bantuan Khas ini kepada para penerima. Beliau juga turut menerima cadangan pihak Yayasan Sabah untuk menyampaikan Skim Bantuan Khas berkenaan kepada 120 orang lagi penerima bagi DUN Likas dan Luyang.


Gambar:
Kenangan……..Datuk Dr Yee Moh Chai menerima cenderamata dari Hanafiah Diman, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan

0 comments: