Saturday, March 14, 2009

YAYASAN SABAH BANTU MAJLIS GURU BESAR ZON TENGAH RANAU MENINGKATKAN PENCAPAIAN PEPERIKSAAN UPSR 2009


RANAU – (Sabtu): Majlis Guru Besar Zon Tengah Ranau akan dibantu oleh Yayasan Sabah untuk mempertingkatkan pencapaian keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009. Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman ketika merasmikan Program Gemilang UPSR Zon Tengah 2009 di Dewan SK Kilimu berkata, Yayasan Sabah akan menyalurkan bantuan yang termampu termasuklah bantuan kewangan dan idea untuk membantu usaha 11 sekolah dalam Zon Tengah Ranau untuk mencapai hasrat murni ini.

Berucap di hadapan 120 orang pelajar dan kesemua Guru Besar serta guru-guru pengiring dari 11 sekolah berkenaan, Hanafiah melahirkan rasa optimis terhadap hasrat tersebut kerana keputusan peperiksaan UPSR tahun 2008 yang lalu telah memberikan petunjuk yang memberangsangkan. Pada tahun 2008, Zon Tengah Ranau mencapai tahap kelulusan 64.57% dengan 6 orang pelajar berjaya memperolehi 5A.

Meskipun tidak ada angka jelas yang ingin dicapai oleh sekolah-sekolah tersebut pada tahun ini, Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Tengah, Saili Masri berkata, tahun 2009 ini sekolah-sekolah Zon Tengah Ranau berhasrat untuk mencapai keputusan lulus 65% ke atas. Beliau melahirkan rasa yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Guru-Guru Besar, guru-guru dan pelajar-pelajar. Beliau menambah, meskipun kesemua sekolah di bawah Zon Tengah Ranau diklasifikasikan sebagai sekolah luar bandar, semangat pelajar dan guru-gurunya juga tidak kalah dengan sekolah-sekolah di bandar-bandar besar.

Pengerusi Program Gemilang UPSR Zon Tengah 2009, Muhasip Ruman dalam ucapannya menyatakan rasa yakin bahawa dalam usaha murni ini dan dengan bantuan semua pihak terutama guru-guru, ibubapa dan para pelajar sendiri serta dengan bantuan pihak-pihak lain seperti Yayasan Sabah, mutu pelajaran di sekolah-sekolah pedalaman juga akan dapat dipertingkatkan. Beliau turut melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada keprihatinan Yayasan Sabah memperjuangkan pendidikan di negeri Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.

Program Gemilang UPSR Zon Tengah 2009 ini dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama dari segi nasihat dan bantuan teknikal dari sekolah-sekolah Zon Tengah Ranau, terutama SK Kilimu yang menjadi tuan rumah pada acara berkenaan.

Hanafiah dalam ucapan perasmian penutupannya juga berkata bahawa acara yang kini menjadi acara tahunan ini akan dipertimbangkan sebagai salah satu acara yang dimasukkan dalam kalendar aktiviti tahunan Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan. Dalam majlis berkenaan, Hanafiah turut menyampaikan hadiah kepada pelajar dan kumpulan terbaik dalam bengkel dua (2) hari tersebut serta menyampaikan sijil penyertaan kepada semua pelahjar yang terlibat.


Hanafiah Diman menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang dalam bengkel berkenaan sambil diperhatikan oleh Saili Masri (dua dari kiri) dan Muhasip Ruman (kanan)

0 comments: